Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
Tidak sempurna iman seseorang itu selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitulah..indahnya Islam. Jauh dari unsur mementingkan diri atau nafsi-nafsi sehinggakan kasih sesama saudara diletakkan sebagai syarat kesempurnaan iman. Orang yang hidup tanpa sahabat akan sentiasa merasa sunyi. Dalam menjalani kehidupan seharian bersahabatlah dengan orang di sekeliling anda, ia tidak merugikan sedikit pun malahan menguntungkan. Namun dasarilah ukhwah dengan ketaqwaan nescaya tidak akan sia-sia nilai persahabatan itu. Hidup dikelilingi sahabat mulia akan sentiasa mengingatkan di saat kita lupa, memujuk di saat kita sedih, menasihati di saat khilaf dan menjadi penguat di dalam perjuangan. Sama-sama berganding bahu susah dan senang diharungi demi sebuah perjuangan menyampaikan risalah Allah dan mencari redha-Nya. Alangkah indah.Tidak ada persahabatan tanpa ketaqwaan kerana sepertimana firman Allah Ta'ala di dalam al-Quran,
“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh-musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah az-Zukhruf [43]:67)
Oleh itu,bersamalah kita menjaga ukhwah yang telah terjalin,mudah-mudahan ia menjadi antara jalan yang membawa kita semakin dekat dengan Ar- Rahim. Dari Imam Malik, Nabi SAW bersabda Allah SWT berfirman “KecintaanKu didapati oleh orang-orang yang saling mencintai dan saling duduk kerana Aku, saling berkunjung keranaKu dan saling memberi keranaKu.” (Al Muwatta’)
Untuk menyahut seruan ini, cuba kita praktikkan beberapa perkara di bawah. Semoga dengan cara ini ukhwah yang telah terjalin akan bertambah kukuh dan manis serta menambahkan keimanan kita Insya ALLAH.
1. Nyatakan rasa kasihmu terhadap saudaramu. Sabda Rasulullah: Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa dia kasih kepadanya. (Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi)
2. Mintalah supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah. Umar al-Khattab r.a berkata, Saya minta izin kepada baginda Rasulullah s.a.w untuk mengerjakan umarah. Baginda Rasulullah s.a.w membenarkan dan berpesan; Jangan lupa berdoa untuk kami bersama. (Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi).
3. Segeralah bersalam apabila bertemu. Sabda Rasulullah s.a.w, Tiadalah dua orang muslim yang bertemu lalu bersalaman melainkan dosa mereka akan diampunkan sebelum berpisah.
4. Bermanis muka apabila bertemu Janganlah kamu memandang hina terhadap kebaikan walaupun kecil, sekalipun bermanis muka ketika bertemu dengan kawan-kawan.
5. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya dan menyukakan hatinya. Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakannya, nescaya Allah akan menyukannya pada hari kiamat.
6. Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu, satu kerumitan daripada kerumitan Akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutupkan keaibannya di dunia dan akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya. (Riwayat Muslim)
Buat semua sahabat ku tersayang, ana sangat menyayangi, mencintai dan merindui antum. Bilakah agaknya lagi dapat kita bertemu. Rindu sungguh rasa di hati ini. Apakan daya takdir ALLAH memisahkan kita jauh dimata namun dekat di hati. Terima kasih di atas segalanya dan maafkanlah segala kekhilafan diri ini. Semoga ukhwah yang dijalin diredhai ALLAH dan kekal ke syurga..insya ALLAH. (:
Dari Abu Malik Al Asya’ari, Rasulullah SAW bersabda tentang golongan manusia yang dicemburui oleh para nabi dan syuhada’, “mereka adalah orang yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana kekerabatan mereka, bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah seperti cahaya dan mereka saling berada di atas cahaya. Mereka tidak berasa takut dikala manusia ketakutan dan mereka tidak bersedih dihati tatkala manusia bersedih hati…” (Hadith Riwayat Ahmad)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar